Wednesday, May 28, 2008

Selamat Jalan Ezam!

Selamat Jalan Ezam!
Nukilan Khairul Faizi bin Ahmad Kamil

Saya telah menulis berita tentang kemasukan Ezam ke dalam UMNO pada 26 Mei 2008 (Ezam, Marilah Bersama PAS) dan 22 Mei 2008 (Akhirnya Ezam Pergi Jua - Versi Baru).
.
Kedua tulisan saya ini menghuraikan bagaimana Ezam dilaporkan akan meninggalkan perjuangan reformasi dan akan meyertai UMNO semula. Tulisan saya yang kedua lebih bertujuan untuk 'memujuk' Ezam agar menyertai PAS daripada UMNO.
.
Nampaknya, Ezam masih tetap dengan pendiriannya untuk menyertai UMNO semula. Esok beliau akan membuat sidang media untuk memperjelaskan sebab-sebab beliau menyertai UMNO walaupun sebelum ini beliau cukup dikenali sebagai seorang anak muda yang gigih berjuang dalam gerakan reformasi sehingga berjaya melahirkan golongan anak muda yang cukup optimis dengan perjuangan Ezam.
.
Sejak daripada pukul 3 petang tadi saya tertunggu-tunggu maklumat terkini daripada media tentang hasil pertemuan Ezam dengan Pak Lah. Walaupun saya dapat membaca bahawa Ezam akan melahirkan hasratnya untuk menyertai UMNO tetapi saya masih meletakkan beberapa peratus harapan agar Ezam akan berubah fikiran.
.
Ada sahabat yang menghantar SMS beberapa minit tadi memaklumkan bahawa 'idola' saya dalam perjuangan telah menyertai UMNO. Saya tidak kisah sangat pun dengan perkembangan ini kerana inilah dia yang dinamakan perjuangan.
.
Sebab itu Tuan Guru Nik Aziz pernah menyebut bahawa seseorang tokoh itu lebih baik diiktiraf selepas daripada kematian tokoh tersebut kerana kita tidak tahu apa akan terjadi selepas anugerah tersebut diberikan. Mungkin tokoh tersebut telah melakukan sesuatu yang bertentangan daripada ketokohannya maka apakah kita akan tetap panggil dia tokoh?
.
Sama juga dengan Ezam, pimpinan muda yang cukup dihormati oleh kawan dan lawan termasuk saya sendiri. Pastinya, anak-anak muda akan cukup terkilan dengan keputusan Ezam ini.
.
Saya membayangkan bahawa, di antara sebab-sebab Ezam menyertai UMNO semula adalah kerana :-
.
i. Dia tidak percaya kepada Anwar Ibrahim,
ii. Perjuangan untuk membela Melayu adalah melalui UMNO,
iii. PKR telah lari daripada dasar perjuangan yang asal,
iv. Ingin membetulkan UMNO daripada dalam,
.
Banyak lagi alasan yang dapat dihuraikan oleh Ezam esok namun yang pastinya Ezam telah melangkahkan kakinya ke dalam UMNO semula.
.
Berita kemasukan Ezam sudah pasti akan menimbulkan pelbagai tanda tanya di kalangan pemimpin UMNO kerana sebagai pemimpin yang berpengaruh, Ezam sudah tentu dilihat sebagai seorang individu yang akan menggugat kedudukan lain-lain pemimpin dalam UMNO.
.
Adakah Ini bermakna Ezam akan bertanding sebagai Ketua @ Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia? Ataupun, Ezam akan menjadi 'orang kuat' Pak Lah untuk menentang gelombang Najib Razak? Pelbagai kemungkinan akan terjadi.
.
Saya tidak kisah dengan apa yang akan terjadi kepada Ezam setelah menyertai UMNO kerana itu semua tidak termasuk dalam agenda perjuangan saya ketika ini.
.
Kepada sdr. Ezam, saya tidak berhasrat untuk mengkritik saudara walaupun kita sudah berbeza haluan tetapi saya berjanji kepada diri saya bahawa sekiranya saudara mengambil sikap menyerang Pakatan Rakyat terutamanya PAS selepas ini, saya tidak akan teragak-agak menyerang saudara secara terbuka dalam arus perdana politik ketika ini.
.
Salam perpisahan....
.
Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Exco Dewan Pemuda PAS Pusat
28 Mei 2008, 6.12 petang
http://minda-kembara.blogspot.com/

No comments: