Wednesday, May 7, 2008

DARI PARLIMEN- Kenapa wartawan jadi sasaran polis? - Kit Siang

Intan Abdullah
Wed | May 07, 08 | 12:49:49 pm MYT

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Hrkh) - Tindakan pihak polis yang menahan dua orang wartawan akhbar The sun yang membuat liputan mengenai kes penyelewengan wang Persatuan Isteri-isteri Wakil Rakyat Selangor (Balkis) dianggap mempunyai unsur balas dendam selepas tidak berpuas hati dengan kekalahan yang dialami BN pada pilihan raya umum lalu.

Lim Kit Siang (Ipoh Timur-DAP) berkata berita yang disiarkan akhbar tersebut dengan tajuk '10 juta hilang dalam masa tiga hari' telah menjadi punca kedua-dua wartawan tersebut ditangkap polis bagi membantu siasatan berhubung laporan tersebut.

"Kita seharusnya menggalakkan media menjalankan 'investigative journalism', dan yang menghairankan saya adalah kenapa wartawan menjadi sasaran pihak polis?

"Begitu juga dengan insiden tangkapan tiga wakil rakyat di Bachang, Melaka pada hari pekerja sehingga mereka dipukul, ditendang serta dikasari pihak polis," katanya dalam perbahasan titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Yang DiPertuan Agong semalam.

Perbahasan mengenai hal tersebut mendapat penjelasan Sim Tong Him (Kota Melaka-DAP) mengenai kejadian sebenar yang berlaku pada hari kejadian.

Bagaimanapun, ia menerima teguran Dato' Bung Moktar Radin (Kinabatangan-BN) yang menggunakan aturan mesyuarat menyatakan Tong tidak memandang kepada Yang DiPertua Dewan.

"Kedudukan saya di tepi ini menyebabkan seolah-olah saya tidak dapat menghadap YDP dewan secara terus," katanya.

Perbahasan diteruskan dengan hujah yang dibangkitkan oleh Dr Lo'Lo' Mohd Ghazali (Titiwangsa-PAS) menyatakan bahawa wakil rakyat tidak sewajarnya diperlakukan seperti penjenayah.

"Tidak sewajarnya wakil rakyat digari dan dikasari kerana membela masalah rakyat," tegasnya.

Lim kemudian menegaskan bahawa apa yang berlaku membuktikan bahawa pihak polis telah digunakan pihak tertentu untuk kepentingan pihak tertentu.

"Polis tidak boleh menjadi alat kepada Umno-BN,"ujarnya seraya disambut sokongan sidang dewan. - mks.

No comments: