Monday, May 12, 2008

Pemberian jawatan Timbalan Menteri hina rakyat Sabah - Ghafur

Harakahdaily
Mon | May 12, 08 | 6:25:36 pm MYT

KUALA LUMPUR, 12 Mei (Hrkh) - Bernama melaporkan seorang wakil Sabah hari ini lantang membidas kerajaan Persekutuan di Dewan Rakyat sambil menegaskan bahawa "luahan dan keluhan" rakyat negeri itu tidak harus dipandang ringan kerana ia boleh membawa implikasi besar pada pilihan raya akan datang.

Dato' Seri Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan), yang sebelum ini meletak jawatan sebagai Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, menyarankan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membuat rombakan untuk memberi jawatan menteri portfolio lebih penting kepada wakil Sabah.

"Kita mahu keadilan, bukan (mahu) Parti Keadilan (Rakyat). Jangan cakap orang Sabah mengarut, kita mesti ambil serius (masalah mereka)," katanya semasa membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong hari Isnin.

Abdul Ghapur, yang pernah menjadi Timbalan Ketua Menteri Sabah, berkata Sabah masih dianaktirikan dan keluhan wakil rakyat dari negeri itu sering "masuk telinga kanan, keluar telinga kiri sahaja".

Menurutnya ucapan Dato' Anifah Aman (BN-Kimanis) di Dewan Rakyat minggu lepas semasa bercakap mengenai ura-ura wakil Sabah melompat parti adalah sebenarnya mencerminkan sentimen rakyat Sabah.

Rabu lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato' Dr Ahmad Zahid Hamidi bertanya Anifah mengapa wakil-wakil Sabah mahu "tukar dari rumah banglo ke rumah teres", dan Anifah menjawab, "lebih baik rumah teres jika tidak selesa tinggal di rumah banglo".

Abdul Ghapur juga menyifatkan jawatan timbalan menteri yang diberi kepada beliau dan Anifah sebagai suatu penghinaan, kerana menurutnya, Sabah dan Sarawak telah menyelamatkan Barisan Nasional (BN) untuk membentuk kerajaan Persekutuan sekarang.

"Sabah dan Sarawak yang menyelamatkan BN tetapi jawatan tiga menteri tidak ada makna kepada rakyat Sabah. Ini memalukan rakyat Sabah...harus diperbaiki dan tidak boleh dibiarkan. Sudahlah ketinggalan, kemudian dianaktirikan, diasingkan," katanya.

Abdul Ghapur berkata: "Ada negeri mendapat tujuh menteri yang penting, ada negeri kalah dapat empat menteri penting, mana keadilan? Minta PM rombak balik, bagi (Sabah) menteri yang penting".

Katanya walaupun wakil-wakil di Sabah tidak akan melompat parti, mereka mungkin boleh menubuhkan parti baru dan "kita boleh join (sertai) sini atau join sana".

Abdul Ghapur menjelaskan bahawa rakyat Sabah masih mundur hinggakan ada yang masih minum air perigi, rumah berdinding daun atap dan murid sekolah duduk atas lantai, tetapi kerajaan Persekutuan sering memberi alasan bahawa peruntukan tidak cukup.

Dato' Abdul Rahman Dahalan (BN-Kota Belud) pula mencelah dan bertanya Abdul Ghapur sama ada setuju supaya projek Jambatan Pulau Pinang dibatalkan dan peruntukannya diberi kepada Sabah.

Abdul Ghapur berkata walaupun beliau seolah-olah seperti pembangkang dalam BN, beliau berharap kepimpinan negara dapat menerima hakikat itu dan menganggap kritikannya sebagai suatu yang membina.

Beliau meminta menteri-menteri pusat datang ke Sabah dan meninjau keadaan rakyat di luar bandar serta berusaha memperbaiki keadaan mereka.

Abdul Ghapur juga, antara lain, meminta agar royalti minyak kepada Sabah dinaikkan daripada lima peratus kepada 20 peratus manakala berita-berita mengenai negeri diberi paparan yang lebih.

Ketika ditanya pemberita di lobi Parlimen mengenai kemungkinan wakil-wakil Sabah menubuhkan parti baru, Abdul Ghapur berkata beliau tidak akan lompat parti.

"(Tetapi) kalau ada kawan-kawan ajak bina parti baru, ada kemungkinan (akan tubuhkan)," katanya.

Ketika ditanya sama ada Umno masih relevan di Sabah, beliau berkata Umno tetap relevan di hati orang Melayu.

"Tetapi kalau cakap Umno tidak didengar maka tidak relevanlah Umno, kalau kata-kata saya tidak diendahkan, tsunami akan sampai dan saya serta kawan-kawan akan hanyut pada pilihan raya akan datang," katanya. - mr

No comments: