Showing posts with label pak lah. Show all posts
Showing posts with label pak lah. Show all posts

Wednesday, September 24, 2008

SHAHIDAN PENASIHAT NCER


Laporan Utusan Malaysia semalam (Sept 23, 2008) amat menggembirakan saya. Sahabat saya Dato Seri Shahidan Kassim, Menteri Besar Perlis yang gagal menjadi Menteri Besar walaupun Perlis di antara negeri yang menang dalam pilihanraya 2008 telah dilantik oleh YAB Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia untuk menjadi penasihat dan pembantu beliau dalam mencapai visi serta misi Wilayah Ekonomi Koridor Utara.

Orang yang busuk hati mungkin menyangka perlantikan ini adalah sebagai cara untuk Abdullah mendapat sokongan ahli Majlis Tertinggi ini supaya dia tidak sokong tuntutan beberapa ahli lain supaya Abdullah berhenti sebelum mesyuarat bahagian.

Kalau saya tidak salah apabila sahaja tokoh tertinggi parti UMNO ternampak mungkin akan menimbul masalah kepada Abdullah, tokoh berkenaan akan dilantik ke jawatan tertentu atau jika tidak ada jawatan dilantik sebagai penasihat kepada YAB Perdana Menteri. Yang bernasib baik akan diberi taraf Menteri. Selepas itu senyap sunyi.

Apakah ini satu jenis rasuah, wallahua'lam.

Dengan begitu banyak penasihat amat menghairankan kenapa tidakan Perdana Menteri Abdullah tidak begitu bijak. Mungkinkah ini disebabkan adanya penasihat bertaraf Menteri pun tetapi tidak ada suara. Ikatan kekeluargaan antara penasihat dan yang dinasihati mungkin lebih utama daripada yang tidak ada ikatan kekeluargaan, wallahua'lam.

p/s Saya juga ucapkan tahniah kepada Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman yang dilantik sebagai Pengerusi Felcra.

Adalah dijangka ramai lagi yang akan dilantik ke jawatan-jawatan tertentu atau jawatan yang diwujudkan khusus.

Yang belum sokong sila percepatkan sokongan. Masih banyak jawatan yang kosong atau dicipta khusus.

Friday, July 25, 2008

SIAPA LANTIK ABDULLAH?




Tiap kali saya kritik Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri ada sahaja orang yang secara sinis berkata, "Awak yang lantik dia".

Ya, saya mengaku salah. Saya mengaku yang saya lantik Dato Seri Abdullah sebagai pengganti saya.

Tetapi ahli UMNO juga pilih Dato Seri Abdullah.

Dato Seri Abdullah memihak kepada Tengku Razaleigh Hamzah dan Musa Hitam dalam usaha untuk menjatuhkan saya pada tahun 1986-1987. Apabila Team B kalah dan UMNO diharamkan, Dato Seri Abdullah tidak menyertai Semangat 46 tajaan Tengku Razaleigh. Sebaliknya dia pilih untuk menjadi ahli UMNO Baru yang saya pimpin.

Saya tidak berhak menolaknya sebagai ahli UMNO Baru. Tetapi saya gugurkannya daripada Jemaah Menteri.

Dalam pemilihan Majlis Tertinggi yang menyusul Dato Seri Abdullah bertanding untuk ahli Majlis Tertinggi. Mesyuarat Agong UMNO memilih Dato Seri Abdullah sebagai ahli Majlis Tertinggi.

Saya masih tidak terima dia balik jadi Menteri.

Di Mesyuarat Agong selepas itu dia bertanding untuk jawatan Naib Presiden. Dia menang dengan undi kedua terbesar jumlahnya berbanding Dato Seri Najib.

Saya berpendapat UMNO hendakkan kepimpinan Dato Seri Abdullah. Walau apa pun perasaan saya terhadap orang yang bersubahat untuk jatuhkan saya, saya tidak berhak untuk menolak kehendak UMNO.

Justeru itu saya kembalikan Dato Seri Abdullah sebagai Menteri dalam Kabinet.

Puji-pujian didengar merata-rata yang Dato Seri Abdullah adalah "Bersih", "Mr Clean". Oleh itu apabila saya terpaksa gugurkan Dato Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri, saya pilih Dato Seri Abdullah untuk mengisi jawatan itu walaupun Dato Seri Najib adalah Naib Presiden yang mendapat undi tertinggi.

Kenapa tidak dipilih Dato Seri Najib?

Sebabnya ialah dia lebih muda dan harapan saya selepas satu, dua penggal sebagai Perdana Menteri, Dato Seri Abdullah akan serahkan jawatan itu kepada Dato Seri Najib. Sebab itu saya berusaha bersungguh-sungguh untuk menentukan Dato Seri Abdullah pilih Dato Seri Najib sebagai timbalannya.

Pemilihan Naib Presiden bukan yang pertama sebagai timbalan pernah berlaku. Saya Naib Presiden yang ke-tiga tetapi Tun Hussein Onn pilih saya jadi Timbalan Perdana Menteri.

Seperti juga dengan diri saya, Mesyuarat Agong UMNO mengesahkan pemilihan Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Timbalan Presiden parti dalam pemilihan yang berikut.

Selepas itu saya anggap penyerahan kuasa kepada Dato Seri Abdullah bukanlah sesuatu yang tidak dikehendaki oleh UMNO. Tidak ada sesiapa yang membantah.

Saya jelaskan latarbelakang pemilihan Dato Seri Abdullah sebagai Perdana Menteri bukan kerana hendak bersihkan diri saya. Saya rela dihukum jika saya salah.

Yang penting bagi saya ialah apabila kita lakukan sesuatu yang salah, menuding jari tidak mendatangkan apa-apa faedah.

Yang penting ialah kita cuba betulkan keadaan. Dalam perkara ini pendapat saya ialah Dato Seri Abdullah perlu letak jawatan dengan sendirinya atau dia disingkir.

Kenyataan olehnya yang dia akan serahkan jawatan dalam parti dan Kerajaan pada bulan Jun 2010 disambut baik bahkan dengan gembira oleh hadirin serta orang ramai, Melayu dan bukan Melayu. Tiada siapa yang merayu supaya dia teruskan pimpinannya.

Dari ini agak jelas yang semua pihak hendak Dato Seri Abdullah letak jawatan. Tetapi meletak jawatan dua tahun dari sekarang bermakna penggantinya hanya mempunyai dua setengah tahun untuk pulihkan parti untuk hadapi Pilihanraya Umum ke-13. Masa ini terlalu singkat kerana kerosakan yang dibuat oleh Dato Seri Abdullah kepada UMNO, Barisan Nasional dan parti-parti komponennya amat teruk. Masa yang lebih panjang diperlukan.

Jiak Dato Seri Abdullah benar-benar sayang kepada UMNO, dia harus rela korban dirinya untuk penggantinya berpeluang memulihkan UMNO. Alasannya yang dia ingin awasi pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-9 tidak boleh diterima kerana sesungguhnya kehadirannya adalah sebab UMNO dan Barisan Nasional jadi lemah.

Saya terima saya bersalah kerana memilih Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai pengganti saya. Sekarang saya menyesal kerana saya tidak sangka "Mr Clean" tidak begitu clean.

Saya percaya ahli UMNO dan pemimpin-pemimpin UMNO di semua peringkat yang marah saya tentu tidak ingin membuat kesalahan yang sama.

Hari ini yang berkuasa menggantikan Dato Seri Abdullah hanyalah ahli dan pemimpin-pemimpin UMNO.

Janganlah tunggu Pilihanraya Umum ke-13 untuk kalahkan BN dan UMNO supaya Dato Seri Abdullah jatuh. Yang salah bukan BN atau UMNO. Yang salah ialah Dato Seri Abdullah.

Jika ahli UMNO hendak melihat UMNO dan BN dipulih semula, paksalah Dato Seri Abdullah letak jawatan sekarang. Jangan calon Dato Seri Abdullah di peringkat cawangan atau bahagian.

Jika kerana cawangan dan bahagian mengizinkan Dato Seri Abdullah terus menjadi Presiden UMNO, yang salah ialah ahli UMNO sendiri.

Ahli UMNO akan bertanggungjawab terhadap kehancuran UMNO dan malapetaka yang akan timpa orang Melayu dan negara Malaysia. Yang akan hancur bersama ialah parti-parti komponen BN.

Setelah mengetahui kekalahan teruk yang menimpa UMNO dan BN di bawah kepimpinan Dato Seri Abdullah, UMNO masih kekalkan kepimpinannya, yang bertanggungjawab dan salah ialah ahli dan pemimpin-pemimpin UMNO sendiri.

Tuesday, July 15, 2008

"Jika Tan Sri Muhyiddin melawan Datuk Seri Najib, Tan Sri Muhyiddn akan menang, Najib akan kalah...," TUN MAHATHIR

Dr M: Muhyiddin mampu tewaskan Najib
Muda Mohd Noor | Jul 15, 08 12:12pm
MALAYSIAKINI.COM

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meramalkan Tan Sri Muhyiddin Yassin mampu menewaskan Datuk Seri Najib Tun Razak jika beliau bertanding jawatan timbalan presiden Umno dalam pemilihan parti yang akan datang.

Beliau berkata, Najib tidak akan dapat menjadi perdana menteri kerana beliau seorang pemimpin yang lemah dan tidak ada pendirian tetap.

muhyiddin yassin and najib and umnoNajib adalah timbalan perdana menteri dan juga timbalan presiden Umno. Beliau menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti yang lalu.

Sebaliknya, Dr Mahathir meramalkan Muhyiddin lebih mudah diterima oleh ahli-ahli Umno yang menyokong Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan mereka yang tidak menyokong presiden parti sekarang.

"Orang-orang ini yang menentukan siapa yang menang dalam pilihanraya, berbanding dalam pemilihan Umno kerana (ia) boleh dimanipulasi dngan pemberian wang ringgit dan pemberian lain,"katanya.

"Saya rasa Tan Sri Muhyiddin patut diberi peluang bertanding jawatan timbalan presiden dalam pemilihan parti yang akan datang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pejabat Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) di ibunegara pagi ini.

"Saya tidak kata saya menyokong Tan Sri Muhyiddin, tetapi saya menyokong sesiapa sahaja kerana saya bukan lagi ahli Umno.

Perlu pencalonan

"Jika Tan Sri Muhyiddin melawan Datuk Seri Najib, Tan Sri Muhyiddn akan menang, Najib akan kalah...," tambahnya.

Sehubungan itu, katanya, jika muhuiddin menang timbalan presiden Umno, beliau sepatutnya dilantik menjadi timbalan perdana menteri.

Katanya, semasa Tun Musa Hitam meletak jawatan, beliau memberi jawatan timbalan perdana menteri kepada Tun ghafar Baba, setelah beliau menang dalam pertandingan umno.

Muhyiddin merupakan naib presiden Umno yang terkanan dari segi lama memegang jawatan tersebut. Seorang lagi ialah Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Manakala kemenangan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad dibatalkan selepas didapati bersalah terbabit dalam politik wang.

Untuk layak bertanding jawatan timbalan presiden, Muhyiddin perlu mendapatkan 20 peratus atau 38 pencalonan daripada 191 bahagian Umno yang akan mula bermesyuarat pada 9 Oktober depan.

Usul tidak percaya

Pada 10 Julai lalu,Abdullah mengumumkan bahawa beliau akan menyerah kuasa kepada timbalannya Datuk Seri Najib Razak pada Jun atau pertengahan tahun 2010.

Beliau juga mengumumkan akan bertanding mempertahankan jawatan presiden parti dalam pemilihan Umno pada 16 Disember depan.

Ketika ditanya mengenai usul tidak percaya Pakatan Rakyat terhadap kerajaan Abdullah, Dr Mahathir berkata, ia patut benarkan kerana BN tahu parti lawan tidak cukup wakil rakyat.

"(Tetapi) itupun BN tidak berani, mengapa takut sangat," katanya.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, kemasukan parti kaum India, selain MIC ke dalam BN, tidak berjaya kerana presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu menentang kemasukan mereka.

Beliau berkata, dalam BN kemasukan parti baru adalah mustahil jika tidak mendapat persetujuan penuh dari komponennnya.

"Samy Vellu menentang parti kaum India lain masuk BN kerana dia hendak menjadi wakil kepada kaum India," kata Dr Mahathir.

Saturday, June 21, 2008

Parti 'Nakal'

Sidang akhbar yang ditujukan khas ke batu jemala PM kita tadi betul-betul tepat pada masanya. SAPP menyatakan pendirian undi tidak percaya (yang sememangnya mewakili jutaan lagi rakyat Malaya) terhadap kepimpinan mengarut Pak Lah. Namun Pak Lah masih lagi tidak dapat memahami (atau memang buat-buat tak faham) mesej yang ingin disampaikan oleh Parti Komponen tersebut. Beliau berkata, ini adalah disebabkan oleh kepentingan peribadi pemimpin SAPP yang tidak dipenuhi oleh BN -TV3. Kenyataan ini menggambarkan seolah-olah SAPP adalah Parti 'Nakal', yang bilamana ketika membantu BN menang, ditimang-timang, dan bilamana bertindak memperbaiki parti, dihenjak-henjak. Entah bila keegoan Pak Lah ini akan berakhir. Pelbagai mesej SMS, MMS, SSM, SSS sudah di hantarkan, namun ibarat 'henfon'nya telah mem'block' kesemuanya kecuali mesej yang melambung dan menimangnya.
Dan pada masa yang sama, jentera BN di Perlis sudah bersiap sedia sepenuh jiwa dan raga untuk mempertahankan kerusi DUN Sanglang yang dikosongkan. BN yakin kali ini majoriti undi akan bertambah dan seterusnya menunjukkan Parti BN masih mendapat sokongan yang padu. Come on la, entah apa yang bermain di fikiran pak-pak menteri semua. Setelah apa yang berlaku sejak 3 bulan ini(tanpa mengambil kira sejak 2003), apakah masih ada sisa-sisa pengundi yang sanggup menutup mata memangkah dacing. Malahan jika diletakkan parti Cap Solex Motor sekalipun pasti akan meraih majoriti yang sangat besar.
Jika realiti ini masih tidak difahami oleh BN, nescaya kegagalan demi kegagalan akan menyusul seterusnya melenyapkan Dacing dan digantikan dengan Bathroom Scale etc. Sedarlah dari lamunan, masih belum terlambat, tiada cara lain lagi untuk memastikan BN terus bernafas dalam lumpur, iaitu dengan MENYINGKIRKAN PAK LAH selamanya...

Saturday, June 14, 2008

Saya tidak akan berhenti cakap - Mahathir

Harakahdaily
Sat | Jun 14, 08 | 7:31:14 am MYT

KUALA LUMPUR, 14 Jun (Hrkh) -Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan dakwaan beliau pernah mengugut hakim-hakim pada 1997 agar menyebelahi kerajaan bertujuan "menutup mulutnya" daripada terus bercakap mengenai kepimpinan negara ini.

Mengulas kenyataan seorang hakim Mahkamah Tinggi awal minggu ini, mantan perdana menteri berkata beliau tidak berdiam diri dan akan terus bersuara melalui blognya.

"(Tuduhan) ini dari satu sudut adalah cara mereka boleh menghentam saya kerana terus bercakap, tapi saya tidak akan berhenti.

"Saya akan terus menulis dalam blog saya," beliau dilaporkan berkata ketika ditemui media dalam lawatan ke Langkawi semalam.

Menurut Bernama yang dipetik Malaysiakini, ditanya sama ada beliau bercadang mengambil tindakan undang-undang berhubung dakwaan itu, beliau berkata:

"Saya nak bawa ke mahkamah mana? Saya bukan ada duit dan tak tau boleh menang atau tidak".

Sebelum mendengar petisyen pilihanraya kawasan Sarikei pada Isnin lalu, hakim Datuk Ian Chin, memberitahu kedua-dua belah pihak terbabit bahawa Dr Mahathir pernah mengugut hakim-hakim dalam satu persidangan pada 1997 untuk melucutkan jawatan mereka melalui penubuhan sebuah tribunal.

Chin mendakwa, sebulan kemudiannya, beliau serta beberapa hakim dan pegawai kehakiman telah dihantar menghadiri kem indoktrinasi, supaya memberi keutamaan kepada kepentingan kerajaan. - mks._

Wednesday, June 4, 2008

TAHNIAH Hadiah pilih BN : Harga minyak naik lagi.

Oleh cina-islam

"a
PARIT BUNTAR, 4 Jun :-Benar sebagai yang dijangkakan, dan terbukti menteri BN, sharir berbohong. Sah harga petrol telah dinaikkan RM0.78 seliter kepada RM2.70 seliter berkuat kuasa mulai esok.

Ia merupakan kenaikan harga hampir 40 peratus daripada harga RM1.92 seliter sekarang. Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan pada sidang akhbar di sini hari ini.

Harga diesel turut dinaikkan sebanyak RM1 kepada RM2.58 seliter daripada RM1.58 sekarang.Bagaimanapun, untuk mengurangkan beban rakyat, Abdullah berkata, kerajaan akan memperkenalkan rebat tunai bahan api dibayar kepada pemilik kenderaan persendirian sebagai satu bentuk subsidi minyak.
Stesen minyak di sekitar Parit Buntar seawalnya sejak jam 5.30 petang telah dipenuhi oleh warga sekitar untuk mendapatkan harga lama. Walaupun sekadar setangki minyak dengan kadar lama itulah mungkin suatu kepuasan dan peluang yang ada dalam keadaan tertekan sebegini.
Saya berada di stesen minyak Petronas kampung kedah sekitar jam 6.20 petang sehingga hampir maghrib untguk berkongsi masalah dengan warga setempat dalam menghadapi kemelut ini.

Tangki minyak memang kosong, namun saya tidak sanggup untuk berbaris panjang . Dalam hati berkata "biarlah rakyat menerima peluang ini bukannnya aku. banyak lagi orang yang lebih susah dan akan lebih susah dengan harga baru pada hari-hari mendatang".

Antara yang berbaris adalah pemimpin UMNO Bahagian Parit Buntar dan bekas ketua kampung di sini. Selain itu banyak dikalangan kakitangan Kerajaan dan swasta. Saya berkesempatan mendengar rungutan mereka yang hampir 100 pratus tidak bersetuju dengan kenaikan ini.

Seorang penduduk Bandar Baharu, En. sofian Abu Babar berpendapat kenaikan ini sangah menyusahkan apa lagi dengan pendapatannya yang tidak seberapa sebagai pekerja swasta. Belia menjangka kan harga barang akan naik secara mandadak selepas ini.

Abdul Rahman Yahya dari Taman Seri Tenggara pula berkata langkah meniakkan harga minbyak adalah langkah yang menyuysahkan rakyat, dan juga beliau yakin harga barang pasti naik.

Seorang peniaga Tionghua yang tinggal bersama dengan saya di Taman Wawasan berpandangan sepatutnya harga minyak tidak patut dinaikkan. Harga asal kena dikekalkan . Paling baik kena turunkan seperti menifesto BA dalam PR yang lepas.

Selain itu seorang yang berbaris panjang memenuhi stesen minyak itu memberi pandangan yang berlainan dengan katanya : "rakyat yang telah memilih BN sehingga diberi peluang lagi untuk memerintah negara kena bertanggung jawab kerana memang dia telah tersalah pilih".

Demikianlah siri kezaliman kerjaan BN yang bermula setiap kali diberikan lagi mandat untuk memerintah negara, Sahlah BN adalah Barang Naik, dan Banyak Naik sebagaimana hari ini tercatat sebagai kenaikan paling tinggi dalam sejarah kenaikan harga minyak di Malaysia.

http://idhamlim.blogspot.com

Friday, May 30, 2008

Ezam ibarat ayam jantan yang gah berkokok tetapi ekornya dipenuhi najis

Mohd Rashidi Hassan
Thu | May 29, 08 | 4:33:19 pm MYT

Ada banyak rumours diperkatakan apabila Ezam Mohamed Nor menyerahkan borang keahlian Umno seumur hidup kepada Presiden Umno yang juga Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi di Parlimen semalam.

Ezam mengatakan beliau berhasrat masuk Umno bukan kerana mengkagumi personaliti Abdullah, sebaliknya perubahan dasar yang dijalankan khususnya dalam persoalan Badan Pencegah Rasuah dan isu kehakiman, begitu menarik minatnya.

Hakikatnya pada beliau perubahan dasar yang dibuat oleh Abdullah, Kerajaan Barisan Nasional yang ditunjangi Umno begitu mendorong pendiriannya untuk berubah.

BN dan Umno sudah berubah? Benarkah begitu? Apakah pendirian yang diambil Ezam sekarang ini, sinomin dengan perjuangan beliau selama ini?

Ezam sejak dua tahun lepas adalah orang yang tidak berparti. Kisah Ezam keluar KeADILan bukan lagi menjadi isu. Dua tahun lalu beliau meletakkan jawatan sebagai Ketua Angkatan Muda atas alasan hendak menumpukan kepada Gerak.

Namun, ada yang mengatakan beliau bergaduh dengan Naib Presiden KeADILan, Mohamed Azmi Ali, ada juga yang mendakwa Ezam bergaduh dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Ketika Anwar dipecat pada tahun 1998, Ezam adalah Setiausaha Politiknya, manakala Azmin sebagai Setiausaha Sulit.

Kedua-dua anak muda ini merupakan antara tonggak utama dan orang kepercayaan Anwar untuk menggerakkan gerakan reformasi semasa Anwar merengkok dalam tahanan.

Dalam parti politik, pemimpin memang ada banyak perbezaan pendapat. Soal pergaduhan dan bagaimana bentuk pendekatan masing-masing tidak perlu dihuraikan di sini.

Kunjungan Ezam ke Harakah

Kira-kira tiga minggu sebelum Parlimen dibubarkan Februari lepas, Ezam Mohd Noor berkunjung ke pejabat Harakah, menemui Ketua Pengarang Kumpulan, Ahmad Lutfi Othman.

Jika tidak silap, hari itu hari Ahad. Hari cuti. Banyak pejabat ditutup, begitu juga dengan Harakah. Hanya dua tiga orang sahaja yang bekerja.

Kami mencadangkan perjumpaan dibuat pada hari lain, namun beliau tetap mahu berjumpa katanya, atas urusan yang amat penting.

Saya dimaklumkan oleh Ketua Pemberita, Wan Nordin Wan Yaacob tentang kehadiran Ezam bertemu dengan Lutfi, tetapi tidak dapat turut serta kerana ada tugasan di Alor Setar.

Butiran mengenai pertemuan tersebut dimaklumkan oleh Lutfi dalam mesyuarat Jabatan Pengarang selepas itu.

Dalam pertemuan tersebut saya dimaklumkan Ezam begitu beriya-iya meminta dibekalkan bahan-bahan untuk membantunya berkempen membantu pembangkang, khususnya PAS dalam Pilihan Raya Umum ke 12.

Bahan utama yang diminta beliau ialah mengenai laporan Badan Pencegah Rasuah dan sebarang dokumen mengenai penyelewengan yang membabitkan Menteri Besar Selangor ketika itu, Dato' Seri Mohd Khir Toyo.

Bahan-bahan tersebut sememangnya ada pada Lutfi, kerana sebelum ini beliau begitu giat mendedahkan apa yang disifatkan penyelewengan, salah laku dan rasuah yang membabitkan seorang bertaraf MB.

Pada saya, apa yang diminta Ezam barangkali ada relevannya dengan peranan beliau sebagai Pengerusi Gerak, yang digiat memperjuangan budaya bersih rasuah dalam negara.

Namun, sampai kesudah Lutfi enggan menyerahkan dokumen tersebut, setelah didesak beberapa kali oleh Ezam.

Saya bertanya kepada Lutfi, mengapa tidak diberikan sahaja dokumen itu kepada Ezam, barangkali boleh membantu kempen PAS di Selangor.

Namun Lutfi enggan memberikan, katanya, dia berasa hairan mengapa Ezam tiba-tiba meminta dokumen mengenai Khir dan merasakan ada sesuatu yang pelik berlaku.

Benarkah Ezam dibeli?

Sewaktu saya berbual-bual dengan rakan-rakan KeADILan di pejabat Anwar di seksyen 16 Petaling Jaya beberapa hari sebelum PRU, saya ada memaklumkan kepada mereka bahawa bekas sahabat baik mereka ada mengunjungi Harakah.

"Ah! Engkau pedulikan sahaja dia tu, dia dah kena beli dengan Khairy (Khairy Jamaluddin)," dakwa seorang bekas Setiausaha Anwar.

Belum pun saya bertanya lebih lanjut beliau mendakwa, "Kami dapat maklumat dari budak-budak Gerak, RM1 juta dah masuk dalam akaun dari Norza, budak Khairy."

Saya faham mereka mendakwa seolah-olahnya Ezam sudah memperolehi sesuatu dari Khairy, melalui Dato' Norza Zakaria, Ahli Majlis Tetinggi Umno, yang dikaitkan sebagai kroni rapat menantu PM itu.

Persoalan mengapa Ezam meminta dokumen mengenai Khir Toyo terjawab. Khairy dikatakan tidak menyukai bekas MB Selangor itu dan berusaha untuk menjatuhkannya dengan menggunakan Ezam.

Oleh kerana itu pada saya, kebimbangan Lutfi di atas gaya body language Ezam dalam pertemuan mereka barangkali juga ada asasnya.

Di kalangan KeADILan diberitahu, Ezam ada membuat beberapa kali pertemuan dengan Khairy, sebelum ini.

Kes tentang apa yang didakwa membabitkan 'perundingan' Ezam dengan pemimpin-pemimpin Umno bukannya baru.

Beberapa tahun lepas, didedahkan kes yang sama timbul sewaktu 'perundingan' diadakan dengan Dato' Seri Abdul Aziz Shamsuddin, bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar.

Kalangan yang masuk Umno ketika itu, membabitkan bekas Naib Ketua Pemudanya, Zahid Mat Arif dan bekas tahanan ISA, Lokman Nor Adam yang didakwa memperolehi sejumlah wang atau 'ghanimah politik' di atas penggadaian prinsip perjuangan mereka.

Zahid dan Lokman beserta beberapa yang lain, ditempelak hebat kerana meninggalkan perjuangan untuk memasuki Umno.

Ketika Lokman ditempelak, untuk menjawab segala tohmahan, Lokman mengatakan bukan inisiatif beliau pada asalnya pertemuan yang diadakan di sebuah hotel di Subang dibuat.

Katanya, beliau ada bukti dan gambar ada pimpinan tertinggi KeADILan yang mengetuai delegasi perundingan untuk memasuki Umno, ketika itu.

Ada yang mengatakan dakwaan mereka ada kaitannya dengan Ezam.

Jika ini benar, soal Ezam hendak masuk Umno, bukannya perkara baru. Maka Ezam tidak boleh mengelak untuk dikaitkan dengan persepsi bahawa, perundingan beliau masuk Umno barangkali membabitkan soal jawatan dan 'peruntukan'.

Soal banyak mana, apa yang diperolehi oleh Ezam dan rakan-rakan rapatnya, yang mendorong mereka memasuki Umno, tidak dapat dipastikan.

Apa yang Ezam mampu lakukan dalam Umno?

Sebelum ini, khususnya sewaktu Ezam 'bercerai' dengan KeADILan, beliau begitu rapat dengan pemimpin-pemimpin PAS, antaranya Dato' Husam Musa, Mohamad Sabu, Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub.

Ezam juga sering berjumpa dengan Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat dan Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Ada banyak janji 'tidak akan masuk Umno' yang sering Ezam ulang-ulangkan di hadapan pemimpin PAS.

Ada banyak "Sumpah Keramat" Ezam dalam ceramah-ceramahnya yang menempelak, mengecam bekas PM Tun Dr Mahathir Mohamad, Abdullah Badawi, Najib dan banyak lagi yang masih ada dalam rekod berbentuk kaset dan VCD.

Semua rekod-rekod ini menjadi bukti bahawa Ezam sebenarnya sudah menggadaikan prinsip perjuangan yang beliau sendiri bersumpah acapkali.

Tanpa disedarinya sumpah-sumpah ini semua sedang memakan diri Ezam. Hanya masa dan waktu sahaja akan menentukan. Wallahu a'lam.

Apa pun yang berlaku, sama ada ungkapan Ezam berbentuk janji, sumpah dan sebagainya, hakikat yang dibuktikan sekarang di hati Ezam hanya ada Umno, bukan PAS, jauh sekali KeADILan.

Ezam barangkali berfikir, laluannya memasuki Umno, menerusi Khairy terus kepada Abdullah boleh menjadi suatu advantage baginya.

Semuanya belum tentu! Orang-orang Umno sedang mencongak, ada tiga kemungkinan yang boleh berlaku dengan kemasukan Ezam ke dalam parti yang hampir karam itu.

Pertama, seperti kata Dato' Seri Najib Tun Razak, 'Ezam ada banyak maklumat'. Mungkin maklumat-maklumat ini boleh digunakan untuk membelasah Anwar dan menghalang pembentukan Kerajaan Pakatan Rakyat.

Kemungkinan kedua; Tidak boleh dinafikan wujud persepsi bahawa Ezam masih agen Anwar Ibrahim. Dalam keadaan sekarang, ada kalangan ahli Umno yang bimbang, Ezam boleh digunakan Anwar untuk menambahkan kerosakan dalam Umno.

Kemungkinan ketiga; Tiada apa-apa pun perubahan yang boleh berlaku kepada Umno! Sewaktu berbondong-bondong ahli Umno diketuai bekas Presidennya, Dr Mahathir keluar Umno kerana kegagalan Abdullah Badawi, Ezam pula hendak masuk Umno atas alasan Abdullah sudah mengubah Umno dan kerajaan.

Apa yang Abdullah ubahkan pun tidak diketahui. Malah Abdullah, BN dan Umno ditolak rakyat dalam PRU Mac lepas kerana dasar-dasar yang lapuk yang tidak boleh diterima.

Malahan sebahagian besar orang-orang Umno berpendapat, parti itu hanya akan berubah hanya apabila Abdullah Badawi meletakkan jawatan.

Umno ibarat Titanic dan tongkang pecah yang sedang menanti untuk karam. Mudah-mudahan 'niat' baik Ezam dan suku sakatnya menyertai kapal, boleh menampung kerosakannya untuk terus berlayar.

Barangkali Umno/BN boleh terus berlayar, tetapi bukan sebagai kerajaan, tetapi sebagai pembangkang.

Ikutlah, mungkin juga nasib Ezam untuk terus menjadi pembangkang.

Cuma, pesanan bekas rakan-rakan seperjuangan kepada anda, jangan jadi seperti "Ayam jantan yang gah berkokok berderau-derau, tetapi ekornya bergelumang dengan najis."

Apa pun, well...good luck saudara Ezam!

Tuesday, May 20, 2008

Pengumuman Keluar Dari UMNO

Hari ini, Mei 19, 2008 saya mengumumkan keputusan saya untuk keluar daripada UMNO. Isteri saya turut bersama.

Keputusan ini dibuat kerana UMNO yang ada sekarang bukan lagi UMNO yang ditubuh 62 tahun dahulu yang berjuang untuk bangsa Melayu, Agama Islam dan Negara Malaysia (Malaya); UMNO yang menggagalkan Malayan Union, memperjuangkan kemerdekaan Malaya dan Malaysia dan membangunkan Malaysia sehingga menjadi Negara yang termaju di antara Negara membangun di dunia.

UMNO yang ada sekarang hanya wujud untuk menyokong Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi, keluarganya dan tindakan serta dasar yang tidak secocok dengan kepentingan bangsa, agama dan negara.


Kepimpinan Dato Seri Abdullah jelas membawa kekalahan dan bencana kepada Barisan Nasional, UMNO, MCA, MIC, Gerakan dan PPP. Kemenangan UMNO di Sabah dan BN di Sarawak bukan kerana kepimpinan Dato Seri Abdullah.

Saya akan jelas satu persatu dasar-dasar dan tindakan Dato Seri Abdullah yang menjadikan Kerajaan pimpinannya dan parti BN dibenci oleh ahli-ahli parti komponen sendiri.

Walaupun sebelum perisytiharan ini saya adalah ahli UMNO tetapi sebenarnya selepas saya letak jawatan sebagai Perdana Menteri saya tidak dilayan sebagai ahli UMNO.

Saya tidak dibenarkan berjumpa ahli UMNO dan ahli UMNO tidak dibenarkan hadir apa-apa perhimpunan di mana saya dijemput sebagai jurucakap atau penyampai ucapan.

Menteri-Menteri yang dahulu berada dalam Kabinet saya tidak dibenarkan atau tidak berani atau tidak mahu jumpa saya lagi.

Jemputan oleh UMNO dan bukan UMNO kepada saya diarah ditarik balik oleh Mneteri Besar dan Polis.

Ramai pemimpin UMNO melepaskan kata-kata kesat kepada saya dan ada yang menyuruh saya keluar daripada UMNO walaupun mereka baru sahaja masuk UMNO. Tidak ada pemimpin UMNO yang pertahankan saya secara terbuka.

Wakil ke Perhimpunan Agong tidak dibenarkan menyuara pendapat mereka. Mulut semua orang ditutup.

Yang didengar hanyalah media arus perdana yang memuji Dato Seri Abdullah sehingga dia percaya dia begitu popular dan akan sapu bersih parti lawan dalam pilihanraya umum ke-12.

Hasilnya ialah kekalahan yang teruk bagi Barisan Nasional. Malangnya mesej yang hendak disampaikan oleh pengundi dan penyokong BN tidak dapat difahami oleh Dato Seri Abdullah.

Dia masih berkata dia menang. Ini sukar diterima oleh orang Kedah, orang Pulau Pinang, orang Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Oleh kerana Dato Seri Abdullah buta mata dan pekak telinga dan tidak faham mesej ahli BN, oleh kerana ahli UMNO pun turut bersama, oleh kerana proses demokrasi tidak berjalan, oleh kerana UMNO yang ada sekarang bukan lagi UMNO yang ditubuhkan 62 tahun dahulu, saya berpendapat penyertaan saya sebagai ahli UMNO tidak bermakna dan tidak berguna lagi.

Justeru itu saya ingin umumkan bahawa saya sudah keluar daripada UMNO.

Saya ingin tegaskan bahawa saya bebas dan tidak menyokong mana-mana parti lawan.

Saya akan pohon untuk masuk UMNO apabila Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah berhenti daripada menjadi Presiden UMNO, Pengerusi BN dan Perdana Menteri Malaysia.

Dr Mahathir bin Mohamad (bekas ahli UMNO No 1)
Dr Siti Hasmah binti Mohd Ali (bekas ahli UMNO No 2)

Monday, May 19, 2008

Kenyataan Media Presiden PAS berkaitan Tun Mahathir

Oleh Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang

Tindakan Yang Amat Berbahagia Tun Dr Mahathir Mohammad mengumumkan keluar dari Umno hari ini merupakan satu tindakan yang radikal sekaligus membuktikan betapa Umno kini berada dalam keadaan yang sangat parah, dengan penyakit rasuah, amalan tidak demokratik dan penipuan yang bukan hanya diamalkan dalam pilihan raya malah sesama mereka sendiri di dalam parti. PAS merasakan tindakan Tun ini turut membuktikan yang Umno sudah tidak layak lagi diberikan kepercayaan untuk menjadi penyelamat negara, bangsa Melayu dan agama Islam.

PAS sentiasa tegas dan konsisten dengan Islam sebagai penyelamat kepada bangsa Melayu dan negara seluruhnya. PAS sentiasa terbuka kepada semua pihak yang bersedia melakukan "islah" atau perubahan samada ianya Pakatan Rakyat yang sedia ada atau pihak Umno sendiri yang bersedia melakukan perubahan dengan syarat-syarat berikut:

1. Pihak berkenaan hendaklah mengekalkan kepimpinan Melayu Islam yang baik
2. Berlaku adil kepada semua rakyat pelbagai kaum dan agama sebagai penyelesaian kepada masalah masyarakat majmuk
3. Perpaduan Melayu mestilah dipelihara berasaskan Islam manakala perpaduan rakyat pelbagai kaum,dan agama dibentuk berasaskan keadilan dan hak yang adil buat semua
4. Proses prubahan hendaklah berlaku secara berakhlak, luhur dan berlandaskan etika yang baik

PAS sangat berpengalaman dalam arus politik negara dalam apa sahaja situasi dan keadaan sejak Merdeka sehinggalah ke hari ini. PAS pernah memimpin kerajaan negeri, menyertai kerajaan campuran diperingkat pusat, bekerjasama dengan pakatan pembangkang dan malah pernah bersendirian sebagai pembangkang. PAS akan mengkaji pengalaman ini dari masa ke semasa, bersama Pakatan Rakyat dan jika perlu menegur Pakatan Rakyat disamping memberi perhatian dan mengkaji perubahan yangs edang berlaku dalam Umno pasca pilihan raya, demi menyusun langkah dan strategi yang sebaik-baiknya demi masa depan negara.

Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang
Presiden PAS

Dr M keluar Umno: "Saya orang paling gembira di dunia"

Oleh Bernama
Isnin, 19 Mei 2008

KOTA BAHARU: Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau orang paling gembira di dunia dengan keputusan itu kerana ini memberi perangsang kepada PAS memperkukuhkan pengaruh politiknya.

Pemimpin parti pembangkang tidak menjangka bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan keluar Umno berkuatkuasa hari ini tetapi menyambut baik keputusan itu.

Ada di antara mereka yang berpendapat tindakan itu akan membawa satu senario baru dalam politik Umno selain memberi faedah kepada parti pembangkang.

Di KOTA BAHARU, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau orang paling gembira di dunia dengan keputusan itu kerana ini memberi perangsang kepada PAS memperkukuhkan pengaruh politiknya. Bagaimanapun, Menteri Besar Kelantan itu berkata beliau menghormati Dr Mahathir sebagai tokoh pemimpin yang terkenal di seluruh dunia dengan mempunyai pemikiran yang tajam dalam membawa kemajuan negara.

Bercakap kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya di Pulau Melaka, Kota Baharu, Nik Abdul Aziz berkata beliau akan mengenang jasa Dr Mahathir berhubung isu Palestin dengan menuduh rejim Zionis sebagai punca dunia Arab berpecah belah.

PAS sentiasa memberi ruang kepada Dr Mahathir untuk menyertai parti itu kerana ketokohannya dan kebijaksanaannya akan memberi kelebihan pada PAS, katanya ketika mengulas tindakan Dr Mahathir keluar Umno berkuatkuasa serta merta.