Showing posts with label Tun Dr. Mahathir. Show all posts
Showing posts with label Tun Dr. Mahathir. Show all posts

Tuesday, July 15, 2008

"Jika Tan Sri Muhyiddin melawan Datuk Seri Najib, Tan Sri Muhyiddn akan menang, Najib akan kalah...," TUN MAHATHIR

Dr M: Muhyiddin mampu tewaskan Najib
Muda Mohd Noor | Jul 15, 08 12:12pm
MALAYSIAKINI.COM

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meramalkan Tan Sri Muhyiddin Yassin mampu menewaskan Datuk Seri Najib Tun Razak jika beliau bertanding jawatan timbalan presiden Umno dalam pemilihan parti yang akan datang.

Beliau berkata, Najib tidak akan dapat menjadi perdana menteri kerana beliau seorang pemimpin yang lemah dan tidak ada pendirian tetap.

muhyiddin yassin and najib and umnoNajib adalah timbalan perdana menteri dan juga timbalan presiden Umno. Beliau menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti yang lalu.

Sebaliknya, Dr Mahathir meramalkan Muhyiddin lebih mudah diterima oleh ahli-ahli Umno yang menyokong Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan mereka yang tidak menyokong presiden parti sekarang.

"Orang-orang ini yang menentukan siapa yang menang dalam pilihanraya, berbanding dalam pemilihan Umno kerana (ia) boleh dimanipulasi dngan pemberian wang ringgit dan pemberian lain,"katanya.

"Saya rasa Tan Sri Muhyiddin patut diberi peluang bertanding jawatan timbalan presiden dalam pemilihan parti yang akan datang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pejabat Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) di ibunegara pagi ini.

"Saya tidak kata saya menyokong Tan Sri Muhyiddin, tetapi saya menyokong sesiapa sahaja kerana saya bukan lagi ahli Umno.

Perlu pencalonan

"Jika Tan Sri Muhyiddin melawan Datuk Seri Najib, Tan Sri Muhyiddn akan menang, Najib akan kalah...," tambahnya.

Sehubungan itu, katanya, jika muhuiddin menang timbalan presiden Umno, beliau sepatutnya dilantik menjadi timbalan perdana menteri.

Katanya, semasa Tun Musa Hitam meletak jawatan, beliau memberi jawatan timbalan perdana menteri kepada Tun ghafar Baba, setelah beliau menang dalam pertandingan umno.

Muhyiddin merupakan naib presiden Umno yang terkanan dari segi lama memegang jawatan tersebut. Seorang lagi ialah Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Manakala kemenangan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad dibatalkan selepas didapati bersalah terbabit dalam politik wang.

Untuk layak bertanding jawatan timbalan presiden, Muhyiddin perlu mendapatkan 20 peratus atau 38 pencalonan daripada 191 bahagian Umno yang akan mula bermesyuarat pada 9 Oktober depan.

Usul tidak percaya

Pada 10 Julai lalu,Abdullah mengumumkan bahawa beliau akan menyerah kuasa kepada timbalannya Datuk Seri Najib Razak pada Jun atau pertengahan tahun 2010.

Beliau juga mengumumkan akan bertanding mempertahankan jawatan presiden parti dalam pemilihan Umno pada 16 Disember depan.

Ketika ditanya mengenai usul tidak percaya Pakatan Rakyat terhadap kerajaan Abdullah, Dr Mahathir berkata, ia patut benarkan kerana BN tahu parti lawan tidak cukup wakil rakyat.

"(Tetapi) itupun BN tidak berani, mengapa takut sangat," katanya.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, kemasukan parti kaum India, selain MIC ke dalam BN, tidak berjaya kerana presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu menentang kemasukan mereka.

Beliau berkata, dalam BN kemasukan parti baru adalah mustahil jika tidak mendapat persetujuan penuh dari komponennnya.

"Samy Vellu menentang parti kaum India lain masuk BN kerana dia hendak menjadi wakil kepada kaum India," kata Dr Mahathir.

Sunday, June 15, 2008

Najib tunggu apa?

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan tindakan Datuk Seri Najib Tun Razak tidak akan bertanding jawatan presiden Umno sebagai ‘terlalu terlambat".

Katanya, Najib tidak akan sempat menjadi presiden jika Umno hancur kelak.

"Najib tunggu apa? Sekarang ini pun Umno dah lemah dan kalau Najib tunggu lagi Umno akan hancur dan dia tak boleh jadi presiden," katanya.

Menurut laporan Bernama, beliau menegaskan demikian di Langkawi semalam, sebagai mengulas kenyataan Najib yang juga timbalan perdana menteri, yang tidak akan bertanding jawatan presiden tetapi sebaliknya akan menerima jawatan itu secara peralihan kuasa.

Dr Mahathir berkata Umno lemah kerana kalah dalam pilihanraya lalu.

Katanya, parti itu akan menjadi bertambah teruk jika ahli-ahli parti terus menyokong Abdullah.

Semalam, perdana menteri berkata beliau dan timbalannya sudah sepakat dalam menentukan masa yang terbaik untuk penyerahan kuasa.

Katanya, beliau dan Najib sudah tentukan bila masanya yang sesuai bagi beliau untuk menyerahkan jawatannya.

Beliau juga berkata tiada masalah antara mereka dan hubungan mereka berdua juga adalah baik.

Abdullah yang juga presiden Umno menegaskan demikian ketika berucap di majlis makan tengah hari bersama pemimpin masyarakat dan pegawai-pegawai kanan kerajaan sempena lawatan seharinya ke Kelantan.

Saturday, June 14, 2008

Saya tidak akan berhenti cakap - Mahathir

Harakahdaily
Sat | Jun 14, 08 | 7:31:14 am MYT

KUALA LUMPUR, 14 Jun (Hrkh) -Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan dakwaan beliau pernah mengugut hakim-hakim pada 1997 agar menyebelahi kerajaan bertujuan "menutup mulutnya" daripada terus bercakap mengenai kepimpinan negara ini.

Mengulas kenyataan seorang hakim Mahkamah Tinggi awal minggu ini, mantan perdana menteri berkata beliau tidak berdiam diri dan akan terus bersuara melalui blognya.

"(Tuduhan) ini dari satu sudut adalah cara mereka boleh menghentam saya kerana terus bercakap, tapi saya tidak akan berhenti.

"Saya akan terus menulis dalam blog saya," beliau dilaporkan berkata ketika ditemui media dalam lawatan ke Langkawi semalam.

Menurut Bernama yang dipetik Malaysiakini, ditanya sama ada beliau bercadang mengambil tindakan undang-undang berhubung dakwaan itu, beliau berkata:

"Saya nak bawa ke mahkamah mana? Saya bukan ada duit dan tak tau boleh menang atau tidak".

Sebelum mendengar petisyen pilihanraya kawasan Sarikei pada Isnin lalu, hakim Datuk Ian Chin, memberitahu kedua-dua belah pihak terbabit bahawa Dr Mahathir pernah mengugut hakim-hakim dalam satu persidangan pada 1997 untuk melucutkan jawatan mereka melalui penubuhan sebuah tribunal.

Chin mendakwa, sebulan kemudiannya, beliau serta beberapa hakim dan pegawai kehakiman telah dihantar menghadiri kem indoktrinasi, supaya memberi keutamaan kepada kepentingan kerajaan. - mks._

Wednesday, May 28, 2008

apa kata rakyat tentang TUN MAHATHIR

Assalamua'alaikum Tun,
Tiada yang akan kekal di atas muka bumi ini. Sejarah telah membuktikannya.Saya tidak menafikan bahawa kuasa BN di zaman Tun lebih kukuh berbanding sekarang,namun realitinya, bibit kebencian dan kebosanan rakyat bermula pada zaman Tun.Kesilapan Pak Lah ialah kerana dia tidak mampu bersikap diktator seperti Tun atau tidak sekeras dan lebih zalim dari Tun.Realitinya, walau Pak Lah berundur sekali pun, belum tentu sokongan rakyat terhadap BN akan pulih, malah mungkin bertambah merosot.Ini kerana ketiadaan pemimpin yang dapat mengembalikan kepercayaan rakyat kepada.Apakah D.S.Najib mampu mengembalikan keyakinan rakyat?Skandal yang dikaitkan dengannya sudah cukup membimbangkan rakyat.Realitinya, Umno kini sudah ketandusan pemimpin yang berwibawa dan berkualiti, dan ini semua adalah hasil daripada budaya cantas-mencantas yang diamalkan sejak di zaman Tun lagi.Tun mungkin melihat dari sudut yang berlainan, tetapi saya melihat dari bawah sebagai rakyat dan pengundi biasa. Namun saya percaya Tun lebih tahu daripada saya dan segala tindakan Tun, Tun saja yang tahu apa yang tersirat, orang ramai hanya mampu membuat tafsiran samada Tun benar-benar ikhlas atau hanya marahkan Pak Lah kerana gagal melindungi kepentingan Tun.

Thursday, May 22, 2008

"Duri dalam daging"

Saya telah ikuti laporan berkenaan keputusan saya keluar dari UMNO yang disiarkan RTM 1, 8 malam, 19 hb Mei. Komen oleh dua pemimpin UMNO amat menggelikan hati saya.

Tun Musa Hitam dakwa saya adalah ‘duri dalam daging yang sekarang sudah dikeluarkan.’

Tun, apakah Tun lupa Tun jadi duri dalam daging UMNO tahun 1986 - 87 dahulu? Semasa Tun jadi Timbalan Perdana Menteri [di lantik oleh saya]. Tun telah letak jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO kerana hendak saya berhenti daripada jadi Perdana Menteri dan diganti oleh Tun. Atas rayuan ahli Majlis Tertinggi, Tun kembali sebagai Timbalan Presiden UMNO. Rupa-rupanya Tun masih punyai niat untuk jatuhkan saya.

Oleh itu Tun menghasut Tengku Razaleigh yang menjadi musuh ketat Tun supaya lawan saya. Demikianlah bencinya Tun kepada saya sehingga sanggup terima musuh ketat Tun bertanding Presiden, dan Tun jadi Timbalannya; Tun sebelum itu rayu supaya saya sokong Tun untuk rebut jawatan Timbalan Presiden dalam pertandingan lawan Tengku Razaleigh.

Akhirnya pecahlah UMNO dan muncullah parti serpihan Semangat 46. Tetapi dengan bijaknya Tun tidak menyertainya. Tun selamat dan dilantik oleh saya sebagai perutusan bertaraf Menteri ke Bangsa-Bangsa Bersatu. Tengku Razaleigh terkeluar daripada UMNO Baru dan menjadi mangsa perancangan Tun. Syabas Tun. Saya tak tahu sekarang Tun ahli UMNO atau tidak.

Satu lagi pemimpin UMNO ialah Shahrir Samad yang lupa bagaimana dia keluar UMNO, jadi calon bebas dan lawan dengan UMNO, dalam Pilihanraya Kecil dengan simbol kunci.

Siapakah kamu yang nak kritik tindakan saya? Jika tidak kerana kakak Tun Musa sebagai Ketua Wanita Johor Bahru datang pagi-pagi ke rumah saya untuk merayu supaya Dato dibenar kembali ke pangkuan UMNO, Dato akan jadi duri dalam daging UMNO lebih lama. Walaupun Dato maki hamun saya semasa pilihanraya kecil saya bersetuju Dato masuk balik UMNO.

Saya ucap tahniah kerana Dato dapat sekali lagi jadi Menteri. Jagalah harga barang baik-baik. Tak usahlah komen tentang diri saya.

Tepuk dulang paku serpih.
Katakan orang awak yang lebih.

Tuesday, May 20, 2008

Pengumuman Keluar Dari UMNO

Hari ini, Mei 19, 2008 saya mengumumkan keputusan saya untuk keluar daripada UMNO. Isteri saya turut bersama.

Keputusan ini dibuat kerana UMNO yang ada sekarang bukan lagi UMNO yang ditubuh 62 tahun dahulu yang berjuang untuk bangsa Melayu, Agama Islam dan Negara Malaysia (Malaya); UMNO yang menggagalkan Malayan Union, memperjuangkan kemerdekaan Malaya dan Malaysia dan membangunkan Malaysia sehingga menjadi Negara yang termaju di antara Negara membangun di dunia.

UMNO yang ada sekarang hanya wujud untuk menyokong Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi, keluarganya dan tindakan serta dasar yang tidak secocok dengan kepentingan bangsa, agama dan negara.


Kepimpinan Dato Seri Abdullah jelas membawa kekalahan dan bencana kepada Barisan Nasional, UMNO, MCA, MIC, Gerakan dan PPP. Kemenangan UMNO di Sabah dan BN di Sarawak bukan kerana kepimpinan Dato Seri Abdullah.

Saya akan jelas satu persatu dasar-dasar dan tindakan Dato Seri Abdullah yang menjadikan Kerajaan pimpinannya dan parti BN dibenci oleh ahli-ahli parti komponen sendiri.

Walaupun sebelum perisytiharan ini saya adalah ahli UMNO tetapi sebenarnya selepas saya letak jawatan sebagai Perdana Menteri saya tidak dilayan sebagai ahli UMNO.

Saya tidak dibenarkan berjumpa ahli UMNO dan ahli UMNO tidak dibenarkan hadir apa-apa perhimpunan di mana saya dijemput sebagai jurucakap atau penyampai ucapan.

Menteri-Menteri yang dahulu berada dalam Kabinet saya tidak dibenarkan atau tidak berani atau tidak mahu jumpa saya lagi.

Jemputan oleh UMNO dan bukan UMNO kepada saya diarah ditarik balik oleh Mneteri Besar dan Polis.

Ramai pemimpin UMNO melepaskan kata-kata kesat kepada saya dan ada yang menyuruh saya keluar daripada UMNO walaupun mereka baru sahaja masuk UMNO. Tidak ada pemimpin UMNO yang pertahankan saya secara terbuka.

Wakil ke Perhimpunan Agong tidak dibenarkan menyuara pendapat mereka. Mulut semua orang ditutup.

Yang didengar hanyalah media arus perdana yang memuji Dato Seri Abdullah sehingga dia percaya dia begitu popular dan akan sapu bersih parti lawan dalam pilihanraya umum ke-12.

Hasilnya ialah kekalahan yang teruk bagi Barisan Nasional. Malangnya mesej yang hendak disampaikan oleh pengundi dan penyokong BN tidak dapat difahami oleh Dato Seri Abdullah.

Dia masih berkata dia menang. Ini sukar diterima oleh orang Kedah, orang Pulau Pinang, orang Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Oleh kerana Dato Seri Abdullah buta mata dan pekak telinga dan tidak faham mesej ahli BN, oleh kerana ahli UMNO pun turut bersama, oleh kerana proses demokrasi tidak berjalan, oleh kerana UMNO yang ada sekarang bukan lagi UMNO yang ditubuhkan 62 tahun dahulu, saya berpendapat penyertaan saya sebagai ahli UMNO tidak bermakna dan tidak berguna lagi.

Justeru itu saya ingin umumkan bahawa saya sudah keluar daripada UMNO.

Saya ingin tegaskan bahawa saya bebas dan tidak menyokong mana-mana parti lawan.

Saya akan pohon untuk masuk UMNO apabila Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah berhenti daripada menjadi Presiden UMNO, Pengerusi BN dan Perdana Menteri Malaysia.

Dr Mahathir bin Mohamad (bekas ahli UMNO No 1)
Dr Siti Hasmah binti Mohd Ali (bekas ahli UMNO No 2)

Monday, May 19, 2008

Kenyataan Media Presiden PAS berkaitan Tun Mahathir

Oleh Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang

Tindakan Yang Amat Berbahagia Tun Dr Mahathir Mohammad mengumumkan keluar dari Umno hari ini merupakan satu tindakan yang radikal sekaligus membuktikan betapa Umno kini berada dalam keadaan yang sangat parah, dengan penyakit rasuah, amalan tidak demokratik dan penipuan yang bukan hanya diamalkan dalam pilihan raya malah sesama mereka sendiri di dalam parti. PAS merasakan tindakan Tun ini turut membuktikan yang Umno sudah tidak layak lagi diberikan kepercayaan untuk menjadi penyelamat negara, bangsa Melayu dan agama Islam.

PAS sentiasa tegas dan konsisten dengan Islam sebagai penyelamat kepada bangsa Melayu dan negara seluruhnya. PAS sentiasa terbuka kepada semua pihak yang bersedia melakukan "islah" atau perubahan samada ianya Pakatan Rakyat yang sedia ada atau pihak Umno sendiri yang bersedia melakukan perubahan dengan syarat-syarat berikut:

1. Pihak berkenaan hendaklah mengekalkan kepimpinan Melayu Islam yang baik
2. Berlaku adil kepada semua rakyat pelbagai kaum dan agama sebagai penyelesaian kepada masalah masyarakat majmuk
3. Perpaduan Melayu mestilah dipelihara berasaskan Islam manakala perpaduan rakyat pelbagai kaum,dan agama dibentuk berasaskan keadilan dan hak yang adil buat semua
4. Proses prubahan hendaklah berlaku secara berakhlak, luhur dan berlandaskan etika yang baik

PAS sangat berpengalaman dalam arus politik negara dalam apa sahaja situasi dan keadaan sejak Merdeka sehinggalah ke hari ini. PAS pernah memimpin kerajaan negeri, menyertai kerajaan campuran diperingkat pusat, bekerjasama dengan pakatan pembangkang dan malah pernah bersendirian sebagai pembangkang. PAS akan mengkaji pengalaman ini dari masa ke semasa, bersama Pakatan Rakyat dan jika perlu menegur Pakatan Rakyat disamping memberi perhatian dan mengkaji perubahan yangs edang berlaku dalam Umno pasca pilihan raya, demi menyusun langkah dan strategi yang sebaik-baiknya demi masa depan negara.

Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang
Presiden PAS

Dr M keluar Umno: "Saya orang paling gembira di dunia"

Oleh Bernama
Isnin, 19 Mei 2008

KOTA BAHARU: Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau orang paling gembira di dunia dengan keputusan itu kerana ini memberi perangsang kepada PAS memperkukuhkan pengaruh politiknya.

Pemimpin parti pembangkang tidak menjangka bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan keluar Umno berkuatkuasa hari ini tetapi menyambut baik keputusan itu.

Ada di antara mereka yang berpendapat tindakan itu akan membawa satu senario baru dalam politik Umno selain memberi faedah kepada parti pembangkang.

Di KOTA BAHARU, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau orang paling gembira di dunia dengan keputusan itu kerana ini memberi perangsang kepada PAS memperkukuhkan pengaruh politiknya. Bagaimanapun, Menteri Besar Kelantan itu berkata beliau menghormati Dr Mahathir sebagai tokoh pemimpin yang terkenal di seluruh dunia dengan mempunyai pemikiran yang tajam dalam membawa kemajuan negara.

Bercakap kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya di Pulau Melaka, Kota Baharu, Nik Abdul Aziz berkata beliau akan mengenang jasa Dr Mahathir berhubung isu Palestin dengan menuduh rejim Zionis sebagai punca dunia Arab berpecah belah.

PAS sentiasa memberi ruang kepada Dr Mahathir untuk menyertai parti itu kerana ketokohannya dan kebijaksanaannya akan memberi kelebihan pada PAS, katanya ketika mengulas tindakan Dr Mahathir keluar Umno berkuatkuasa serta merta.

TERKINI: TUN MAHATHIR KELUAR UMNO!!!!

ALOR STAR, 19 Mei (Bernama) -- Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan keluar dari Umno berkuatkuasa serta merta.

Dr Mahathir yang juga adalah anggota Umno seumur hidup berkata beliau bertindak demikian kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan Umno sekarang yang gagal membela nasib orang Melayu di negara ini.

"Saya umum saya keluar parti hari ini," katanya di hadapan kira-kira 1,000 hadirin yang kebanyakannya anggota Umno Kedah pada majlis bertajuk "Nasib Kedudukan Bangsa Melayu" di sebuah hotel di sini Isnin.

Bekas Presiden Umno itu juga berkata beliau hanya akan kembali menjadi anggota Umno selepas Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Presiden Umno meletak jawatan atau tidak lagi menjadi pemimpin utama negara.

"Saya akan menulis surat kepada Umno bagi memaklumkan mereka (mengenai keluar dari Umno)," katanya.

Monday, May 12, 2008

Kos tanggung tiga penasihat PM cecah RM 1.2 juta

(Harakah) - Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sekali lagi dibidas kerana membelanjakan jumlah peruntukan yang besar sebanyak RM1,134,401.40 setahun untuk menanggung tiga penasihat beliau.

Tiga penasihat ialah Penasihat Petronas Tun Dr. Mahathir Mohamad;Penasihat Agama Islam Tan Sri Abdul Hamid Othman dan Penasihat Khas Hal Ehwal Pembangunan Wanita & Sosial Dato Shahrizat Abdul Jalil.

Dalam jawapan bertulis Abdullah kepada soalan lisan Ahli Parlimen Zulkifli Noordin (KeADILan- Kulim Bandar Baharu) menyatakan bahawa peruntukan seperti gaji, emolumen, elaun dan kos untuk penasihat Petronas itu berjumlah RM15,000-00 sebulan.

Ini tidak termasuk kemudahan yang disediakan seperti kos kakitangan, pejabat, logistik dan lain-lain yang tidak diberikan jumlahnya.

Manakala peruntukan untuk Penasihat Agama Islam pula ialah RM27,163.00 sebulan dan RM18,643.25 untuk gaji serta elaun kakitangan.

Bagi Shahrizat selaku Penasihat Wanita, beliau dibayar RM33,727.20 sebulan dan tidak termasuk gaji dan elaun kakitangan yang masih dalam proses kelulusan JPA.

"Ini adalah satu jumlah yang besar untuk menanggung tiga orang Penasihat yang tiada sebarang fungsi ataupun fungsi yang bertindih (duplicate).

"Sedangkan Abdullah sudah punya Lembaga Pengarah Petronas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Bahagian Agama Dato' Dr. Zahid Hamidi dan Menteri Pembangunan Wanita & Sosial Dato' Ng Yen Yen untuk menasihati beliau dalam hal-hal berkaitan," kata Zulkifli dalam blognya.

Katanya perkara ini merupakan satu penyalahgunaan dan pembaziran wang rakyat sedangkan pemimpin sentiasa mendengar rintihan rakyat miskin samada yang disuarakan dalam Parlimen atau diluar di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Tambah Zulkifli lagi wang rakyat berjumlah RM1.2 juta itu boleh menanggung seorang anggota polis selama 12,371 bulan atau 1,030 tahun (pada kadar gaji RM900.00 sebulan) manakala dengan peruntukan penasihat itu boleh membina 36 biji rumah untuk rakyat miskin pada kadar RM25,000.00 sebuah rumah.

"Mengapakah perlu wang rakyat sebanyak ini dibazirkan kepada 'dinasour' Umno, pupusan Wanita Umno dan golongan pencen Umno?

"Kita berdoa semoga rakyat tidak kira apa bangsa dan agama akan celik mata melihat sandiwara keangkuhan dan kesombongan rejim Umno dan BN ini," katanya yang juga seorang peguam.