Wednesday, July 16, 2008

Anwar ditahan reman, ke HKL buat ujian DNA

Oleh G. MANIMARAN, ARIFFUDDIN ISHAK dan LEE YAN XIU


(Dikemaskini) KUALA LUMPUR: Setelah 6 jam disoalsiasat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Datuk Seri Anwar Ibrahim diiringi polis dan peguamnya, Sivarasa telah bergerak ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan ujian DNA.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu telah ditahan polis pada jam 1.15 tengahari berhubung dakwaan meliwat pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Menurut peguamnya, Saiful Izham Ramli, selepas menjalani ujian kesihatan bagi mendapatkan sampel DNA, Anwar akan dibawa kembali ke IPKKL.

Keputusan samada Anwar akan ditahan reman akan ditentukan selepas itu.

Sebelum itu, Anwar yang dikeluarkan waran tangkap kerana tidak hadir di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur petang kelmarin berhubung dakwaan tersebut, ditahan polis tengah hari ini untuk membantu siasatan.

Peguam Anwar, Sankara Nair memberitahu pemberita di pekarangan IPK Kuala Lumpur, bekas Timbalan Perdana Menteri itu ditangkap oleh sepasukan polis di kawasan berhampiran dengan rumahnya.

Anwar mula memberikan kenyataan kepada polis mulai pukul 2.30 petang - kira-kira 70 minit selepas dibawa ke IPK Kuala Lumpur.

Beliau dijangka dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk tujuan DNA.

Kata Sankara polis boleh menasihatkan Anwar menjalani pemeriksaan di hospital tetapi tidak boleh memaksanya membekalkan sampel untuk DNA.

"Beberapa minit sebelum ditangkap, DSP Jude Pereira (pegawai penyiasat) menelefon saya dan mengesahkan tentang kedatangan mereka. Mereka kata hendak datang, tetapi (Anwar) ditahan di kawasan selekoh di Jalan Segambut (berhampiran rumah Anwar)," katanya.

No comments: