Monday, October 13, 2008

Dewan Rakyat 13/10/08 Part 2

Dewan Rakyat 13/10/08 Part 1

Sidang Dewan Rakyat bermula hari ini

Sidang Dewan Rakyat bermula hari ini, Anwar jadi tumpuan

13 Oct 2008 10:35AM-klpos

PARLIMEN bersidang hari ini selepas berehat lebih sebulan dengan fokus menjadi tumpuan ke arah Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa perkembangan yang berlaku sejak awal September.

Ketua Umum Pakatan Rakyat itu akan menyampaikan ucapan perbahasan selaku Ketua Pembangkang hari ini, yang difahamkan akan mengambil masa sehari suntuk.

Dewan Rakyat bermula dengan sesi soal jawab secara lisan dan disusuli dengan perbahasan ke atas Bajet 2008.

Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution berkata, Anwar akan menyentuh pelbagai mesej yang "tersurat dan tersirat" dalam ucapannya hari ini.

"Ucapan beliau (Anwar) akan memakan masa sehari suntuk, sehingga petang tetapi tidak sehingga esok," kata beliau kepada mStar Online.

Ketika desas-desus mengenai pembentukan kerajaan pusat oleh Pakatan Rakyat timbul semula, Saifuddin berkata, ucapan tersebut perlu dilihat secara menyeluruh untuk memahami mesej yang hendak disampaikan oleh Anwar yang juga Penasihat PKR.

Bagaimanapun anggota Dewan Rakyat menjelaskan tidak mungkin ada usul undi tidak percaya secara langsung ke atas kepimpinan kerajaan iaitu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi minggu ini.

Ucapan Anwar akan menyentuh pelbagai isu semasa dan keperluan pembentukan kerajaan baru, kata beliau.

Ucapan Bajet 2009 akan diluluskan selepas dibahaskan selama empat hari di peringkat dasar dan kemudian peringkat jawatankuasa selama empat hari ini.

Tetapi Dewan Rakyat boleh melanjutkan masa perbahasan peringkat dasar dan jawatankuasa kelak.

Sidang semasa akan berakhir 11 Disember.

mStar Online juga difahamkan tidak mungkin ada sebarang usul undi tidak percaya Perdana Menteri minggu ini.

Pakatan Rakyat telah meletakkan sasaran membentuk kerajaan pada 16 September lalu.

Semalam, Anwar ketika ditemui wartawan berkata, beliau tidak mahu lagi mengulas mengenai tarikh baru yang ditetapkan bagi Pakatan Rakyat mengambil alih pemerintahan negara daripada Barisan Nasional (BN).

Beliau yang dipetik Bernama berkata: "Saya tidak akan sebut (tarikhnya). Pada ketika yang sesuai... kita akan menyaksikan perubahan".

"Kalau rakyat mahukan perubahan... tidak ada kuasa yang boleh menghalang dan menahan," kata beliau semasa ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri beliau di Kelab Sultan Sulaiman di Kampung Baharu, Kuala Lumpur.

Di Kota Bharu Jumaat lepas, Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, kerajaan baru akan ditubuhkan sebelum Hari Raya Aidiladha Disember ini, selepas gagal menubuhkan kerajaan pusat pada 16 September lalu.

Sidang Dewan Rakyat ditangguhkan selepas Abdullah selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan membentangkan Bajet 2009 pada 29 Ogos lalu.

Tiga hari sebelum pembentangan Bajet 2009, Anwar kembali ke Parlimen dengan memenangi pilihan raya kecil Permatang Pauh.

Persidangan ditangguhkan berikutan bulan Ramadan dan sambutan Aidilfitri.

Dua minggu selepas membentangkan Bajet 2009, Abdullah dan Timbalannya, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak telah mengambil alih portfolio masing-masing.

Najib kini merupakan Menteri Kewangan manakala Kementerian Pertahanan diketuai Abdullah.

Pertukaran portfolio itu juga seiring dengan pelan peralihan pucuk kepimpinan Umno.

Sidang kali ini juga yang pertama sejak Abdullah pada minggu lalu mengumumkan tidak akan bertanding mempertahankan jawatan Presiden Umno.

Pada pengumuman itu, Abdullah mahu melaksanakan lima inisiatif sepanjang lima bulan akan datang, antaranya menubuhkan tiga agensi penting - Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Suruhanjaya Aduan Khas. Selain itu Abdullah mahu kekayaan dan hasil kemakmuran negara perlu diagihkan secara lebih adil ke serata negara. Ini termasuk dalam inisiatif ekonomi.

Usaha penubuhan suruhanjaya berkenaan perlu dibawa ke Parlimen dan kemungkinan dikemukakan untuk perbahasan pada sidang kali ini.

Yang menarik, dua minggu lalu salah satu parti komponen BN, Parti Maju Sabah (Sapp) mengumumkan ia keluar perikatan tersebut.

Kini ia bertindak sebagai wakil Bebas di Dewan Rakyat.

Dengan perkembangan itu, bilangan wakil rakyat BN menurun dua menjadi 138, Bebas pula tiga dan yang baki keanggotaan parti komponen Pakatan Rakyat.

Malah, Dewan Rakyat juga dilihat akan menjadi tumpuan dengan isu tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Ketika Ahli Parlimen DAP kerusi Seputeh, Teresa Kok ditahan di bawah ISA awal bulan lalu, pelbagai pihak menggesa undang-undang tersebut dimansuhkan. / Mstar


"Ucapan Anwar akan memakan masa sehari suntuk, sehingga petang tetapi tidak sehingga esok"

Wednesday, September 24, 2008

SHAHIDAN PENASIHAT NCER


Laporan Utusan Malaysia semalam (Sept 23, 2008) amat menggembirakan saya. Sahabat saya Dato Seri Shahidan Kassim, Menteri Besar Perlis yang gagal menjadi Menteri Besar walaupun Perlis di antara negeri yang menang dalam pilihanraya 2008 telah dilantik oleh YAB Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia untuk menjadi penasihat dan pembantu beliau dalam mencapai visi serta misi Wilayah Ekonomi Koridor Utara.

Orang yang busuk hati mungkin menyangka perlantikan ini adalah sebagai cara untuk Abdullah mendapat sokongan ahli Majlis Tertinggi ini supaya dia tidak sokong tuntutan beberapa ahli lain supaya Abdullah berhenti sebelum mesyuarat bahagian.

Kalau saya tidak salah apabila sahaja tokoh tertinggi parti UMNO ternampak mungkin akan menimbul masalah kepada Abdullah, tokoh berkenaan akan dilantik ke jawatan tertentu atau jika tidak ada jawatan dilantik sebagai penasihat kepada YAB Perdana Menteri. Yang bernasib baik akan diberi taraf Menteri. Selepas itu senyap sunyi.

Apakah ini satu jenis rasuah, wallahua'lam.

Dengan begitu banyak penasihat amat menghairankan kenapa tidakan Perdana Menteri Abdullah tidak begitu bijak. Mungkinkah ini disebabkan adanya penasihat bertaraf Menteri pun tetapi tidak ada suara. Ikatan kekeluargaan antara penasihat dan yang dinasihati mungkin lebih utama daripada yang tidak ada ikatan kekeluargaan, wallahua'lam.

p/s Saya juga ucapkan tahniah kepada Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman yang dilantik sebagai Pengerusi Felcra.

Adalah dijangka ramai lagi yang akan dilantik ke jawatan-jawatan tertentu atau jawatan yang diwujudkan khusus.

Yang belum sokong sila percepatkan sokongan. Masih banyak jawatan yang kosong atau dicipta khusus.

Wednesday, August 27, 2008

Anwar ke Parlimen 'seawal hari esok'

Aug 26, 08 10:26pm Walaupun berdepan kemungkinan tidak akan mengangkat sumpah secara rasmi sebagai ahli parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertegas akan ke Parlimen esok selepas menang kerusi Permatang Pauh malam ini.

"Insya Allah, seandainya diizinkan dan jika tiada aral, saya akan melangkah masuk ke Parlimen seawal hari esok dengan menggalas harapan rakyat keseluruhannya," katanya di blognya sewaktu menunggu keputusan rasmi pilihanraya kecil tersebut.

"Saya ucap terima kasih atas kesudian dan kepercayaan rakyat di Permatang Pauh yang memberikan undi kepada saya.

permatang pauh by election nomination day 160808 candidates "Di sebalik pelbagai bentuk intimidasi yang dilaksanakan oleh Umno-BN, keberanian rakyat untuk menerobos halangan ini sangat dihargai."

Keputusan rasmi Anwar (foto, paling kanan) mendapat majoriti besar sebanyak 15,671 undi diketahui kira-kira 9.45 malam di pusat penjumlahan walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tidak lama kemudian.

Penasihat PKR mendapat 31,195 undi, manakala calon BN Datuk Arif Shah Omar Shah meraih 15,524 undi.

Sementara calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) Hanafi Hamat memperolehi 92 undi sahaja dan hilang wang pertaruhan.

Majoriti undi PKR kali ini lebih tinggi daripada yang diperolehi isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam pilihanraya umum Mac lepas.

Kira-kira 81.1 peratus daripada 58,49 pemilih di Permatang Pauh keluar mengundi hari ini.

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dilaporkan berkata majlis angkat sumpah tidak perlu disegerakan dalam minggu ini, walaupun Dewan Rakyat sedang bersidang khususnya untuk pembentangan Bajet 2009 pada Jumaat.

Pandikar Amin juga berkata ahli parlimen baru itu boleh berbuat demikian dalam sesi persidangan dewan yang akan berlangsung semula pertengahan Oktober ini.

"Tiada keperluan untuk beliau mengangkat sumpah dengan segera. Bukannya ada perebutan kuasa," Pandikar Amin dipetik berkata.

"Mengapa perlu tergesa-gesa. Kita tidak boleh membuat andaian bahawa orang yang menang pilihanraya itu akan terburu-buru datang dan berbahas dengan Speaker dan angkat sumpah.

"Ada sebulan lebih untuk sesiapa yang menang untuk kita tetapkan bila angkat sumpah, supaya ahli parlimen berkenaan boleh mengambil bahagian dalam perbahasan bajet, tetapi saya sudah bersiap sedia untuk segala-galanya."

Thursday, July 31, 2008

Wan Azizah lepaskan Permatang Pauh, Anwar bertanding

31-07-2008 03:29:45 PM
Oleh NURUL AIN HUSSAIN

(Mutakhir) KUALA LUMPUR: Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan beliau akan bertanding di kawasan Parlimen pada pilihan raya kecil Permatang Pauh.

Ia berikutan tindakan isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengosongkan kerusi itu berkuat kuasa hari ini.

Ia diumumkan pada sidang media di sini sebentar tadi.

Dr. Wan Azizah merupakan Ahli Parlimen kerusi itu sejak pilihan raya umum 1999 iaitu selepas selepas Anwar dipecat daripada parti dan kerajaan setahun sebelum itu dan dihadapkan di mahkamah.

Kini Dr. Wan Azizah merupakan Ketua Pembangkang di Parlimen.

"Hari ini saya secara rasmi meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh bagi membolehkan Datuk Seri Anwar bertanding dalam satu pilihan raya kecil secepat mungkin," kata Dr. Wan Azizah.

Friday, July 25, 2008

SIAPA LANTIK ABDULLAH?




Tiap kali saya kritik Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri ada sahaja orang yang secara sinis berkata, "Awak yang lantik dia".

Ya, saya mengaku salah. Saya mengaku yang saya lantik Dato Seri Abdullah sebagai pengganti saya.

Tetapi ahli UMNO juga pilih Dato Seri Abdullah.

Dato Seri Abdullah memihak kepada Tengku Razaleigh Hamzah dan Musa Hitam dalam usaha untuk menjatuhkan saya pada tahun 1986-1987. Apabila Team B kalah dan UMNO diharamkan, Dato Seri Abdullah tidak menyertai Semangat 46 tajaan Tengku Razaleigh. Sebaliknya dia pilih untuk menjadi ahli UMNO Baru yang saya pimpin.

Saya tidak berhak menolaknya sebagai ahli UMNO Baru. Tetapi saya gugurkannya daripada Jemaah Menteri.

Dalam pemilihan Majlis Tertinggi yang menyusul Dato Seri Abdullah bertanding untuk ahli Majlis Tertinggi. Mesyuarat Agong UMNO memilih Dato Seri Abdullah sebagai ahli Majlis Tertinggi.

Saya masih tidak terima dia balik jadi Menteri.

Di Mesyuarat Agong selepas itu dia bertanding untuk jawatan Naib Presiden. Dia menang dengan undi kedua terbesar jumlahnya berbanding Dato Seri Najib.

Saya berpendapat UMNO hendakkan kepimpinan Dato Seri Abdullah. Walau apa pun perasaan saya terhadap orang yang bersubahat untuk jatuhkan saya, saya tidak berhak untuk menolak kehendak UMNO.

Justeru itu saya kembalikan Dato Seri Abdullah sebagai Menteri dalam Kabinet.

Puji-pujian didengar merata-rata yang Dato Seri Abdullah adalah "Bersih", "Mr Clean". Oleh itu apabila saya terpaksa gugurkan Dato Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri, saya pilih Dato Seri Abdullah untuk mengisi jawatan itu walaupun Dato Seri Najib adalah Naib Presiden yang mendapat undi tertinggi.

Kenapa tidak dipilih Dato Seri Najib?

Sebabnya ialah dia lebih muda dan harapan saya selepas satu, dua penggal sebagai Perdana Menteri, Dato Seri Abdullah akan serahkan jawatan itu kepada Dato Seri Najib. Sebab itu saya berusaha bersungguh-sungguh untuk menentukan Dato Seri Abdullah pilih Dato Seri Najib sebagai timbalannya.

Pemilihan Naib Presiden bukan yang pertama sebagai timbalan pernah berlaku. Saya Naib Presiden yang ke-tiga tetapi Tun Hussein Onn pilih saya jadi Timbalan Perdana Menteri.

Seperti juga dengan diri saya, Mesyuarat Agong UMNO mengesahkan pemilihan Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Timbalan Presiden parti dalam pemilihan yang berikut.

Selepas itu saya anggap penyerahan kuasa kepada Dato Seri Abdullah bukanlah sesuatu yang tidak dikehendaki oleh UMNO. Tidak ada sesiapa yang membantah.

Saya jelaskan latarbelakang pemilihan Dato Seri Abdullah sebagai Perdana Menteri bukan kerana hendak bersihkan diri saya. Saya rela dihukum jika saya salah.

Yang penting bagi saya ialah apabila kita lakukan sesuatu yang salah, menuding jari tidak mendatangkan apa-apa faedah.

Yang penting ialah kita cuba betulkan keadaan. Dalam perkara ini pendapat saya ialah Dato Seri Abdullah perlu letak jawatan dengan sendirinya atau dia disingkir.

Kenyataan olehnya yang dia akan serahkan jawatan dalam parti dan Kerajaan pada bulan Jun 2010 disambut baik bahkan dengan gembira oleh hadirin serta orang ramai, Melayu dan bukan Melayu. Tiada siapa yang merayu supaya dia teruskan pimpinannya.

Dari ini agak jelas yang semua pihak hendak Dato Seri Abdullah letak jawatan. Tetapi meletak jawatan dua tahun dari sekarang bermakna penggantinya hanya mempunyai dua setengah tahun untuk pulihkan parti untuk hadapi Pilihanraya Umum ke-13. Masa ini terlalu singkat kerana kerosakan yang dibuat oleh Dato Seri Abdullah kepada UMNO, Barisan Nasional dan parti-parti komponennya amat teruk. Masa yang lebih panjang diperlukan.

Jiak Dato Seri Abdullah benar-benar sayang kepada UMNO, dia harus rela korban dirinya untuk penggantinya berpeluang memulihkan UMNO. Alasannya yang dia ingin awasi pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-9 tidak boleh diterima kerana sesungguhnya kehadirannya adalah sebab UMNO dan Barisan Nasional jadi lemah.

Saya terima saya bersalah kerana memilih Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai pengganti saya. Sekarang saya menyesal kerana saya tidak sangka "Mr Clean" tidak begitu clean.

Saya percaya ahli UMNO dan pemimpin-pemimpin UMNO di semua peringkat yang marah saya tentu tidak ingin membuat kesalahan yang sama.

Hari ini yang berkuasa menggantikan Dato Seri Abdullah hanyalah ahli dan pemimpin-pemimpin UMNO.

Janganlah tunggu Pilihanraya Umum ke-13 untuk kalahkan BN dan UMNO supaya Dato Seri Abdullah jatuh. Yang salah bukan BN atau UMNO. Yang salah ialah Dato Seri Abdullah.

Jika ahli UMNO hendak melihat UMNO dan BN dipulih semula, paksalah Dato Seri Abdullah letak jawatan sekarang. Jangan calon Dato Seri Abdullah di peringkat cawangan atau bahagian.

Jika kerana cawangan dan bahagian mengizinkan Dato Seri Abdullah terus menjadi Presiden UMNO, yang salah ialah ahli UMNO sendiri.

Ahli UMNO akan bertanggungjawab terhadap kehancuran UMNO dan malapetaka yang akan timpa orang Melayu dan negara Malaysia. Yang akan hancur bersama ialah parti-parti komponen BN.

Setelah mengetahui kekalahan teruk yang menimpa UMNO dan BN di bawah kepimpinan Dato Seri Abdullah, UMNO masih kekalkan kepimpinannya, yang bertanggungjawab dan salah ialah ahli dan pemimpin-pemimpin UMNO sendiri.